Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam mula ditubuhkan pada tahun 1970 oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Komitmen dan daya usaha pegawai-pegawai JHEOA, sekolah ini dapat beroperasi. Pada mulanya sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan JHEOA Sungai Pergam, Jabor, Kemaman. Nama ini adalah sempena nama kampong Sungai Pergam.

Pada awal penubuhannya, tenaga pengajar adalah terdiri daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Terengganu dan pegawai dari Jabatan Agama Islam Terengganu. Pada masa itu hanya terdapat sebuah bangunan kayu yang menempatkan bilik darjah sahaja.

Bermula pada tahun 1985, tenaga pengajar adalah terdiri daripada guru-guru yang terlatih yang dibekalkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Walaubagaimanapun pengurusan dan perbelanjaan adalah ditanggung oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Pada tanggal 1 Januari 1995 sekolah ini telah diambilalih sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pengambilan ini adalah untuk meningkatkan taraf sekolah ini setaraf dengan sekolah kebangsaan yang lain di Malaysia.

Langkah pertama yang diambil adalah menukarkan nama sekolah ini kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam, Kemaman, Terengganu. Bangunan lama telah diubahsuai untuk memberi keselesaan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Keseluruhan murid sekolah ini terdiri daripada anak-anak orang asli dari suku kaum Semaq Beri dan Semaq Atik dari perkampungan Sungai Pergam Hulu Jabor Kemaman.

Perkampungan ini terbahagi kepada dua buah kampong iaitu Kampung Hulu dan Kampung Hilir. Setiap kampong mempunyai Batinnya sendiri. Kampung Hulu diketuai oleh Batin Awang bin Yahya dan Kampung Hilir diketuai oleh Batin Boncet bin Yahya. Selain Suku Semaq Beri dan Semaq Atik terdapat segelintir suku Jakun yang berasal dari Pahang seperti dari Rompin, Sungai Lembing, Maran, Bukit Seruk dan Tasik Mentiga yang berkahwin dengan orang Semaq Beri.

Orang Hulu atau Semaq Beri tinggal berdekatan dengan sekolah. Manakala orang Hilir atau Semaq Atik tinggal kira-kira dua kilometer dari sekolah. Mereka dijemput dan dihantar untuk bersekolah. Pada tahun 2005 mereka telah dihantar dengan kenderaan sendiri. Bahasa Harian yang digunakan oleh kedua-dua kampung ialah Bahasa Semaq Beri

Setelah usaha gigih para guru, kehadiran murid ke sekolah semakin meningkat pada setiap tahun. Pada tahun 2005 ini, kehadiran setiap hari melebihi 80% kecuali apabila berlaku kematian atau musibah lain, kehadiran merosot hingga kepada 10% – 15%.

Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam adalah merupakan perkampungan orang asli yang paling mudah dihubungi kerana kampung ini terletak di tepi Lebuhraya Jerangau Jabor. Malah Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam merupakan sekolah yang paling dekat dengan jalan besar di Malaysia.


Penempatan Sekolah

Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam terletak kira-kira 45 km dari Bandar Kuantan dan 55 km dari Bandar Chukai Kemaman. Sekolah ini terletak di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman. Jarak sekolah dengan Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman adalah 55 kilometer. Dengan menggunakan jalan raya akan mengambil masa 60 minit untuk sampai ke PPD Kemaman.

Perkampungan ini terletak di tepi Lebuhraya Jerangau-Jabor. Jalan perhubungan utama ialah jalanraya. Malah perkampungan ini berhampiran dengan jajaran Lebuhraya Pantai Timur yang masih dalam pembinaan sekarang.

Suatu masa dahulu perkampungan Sungai Pergam merupakan perkampungan terpencil di kawasan Hulu Jabor. Setelah wujudnya beberapa kawasan Felda seperti Felda Neram, Bukit Kuantan dan Bandar Ceneh Baharu di bawah pentadbiran KETENGAH menjadikan kampung Sungai Pergam seperti berada di tengah antara Felda Neram dan Bandar Ceneh Baharu.

Bangunan sekolah yang berada dalam jarak 40 meter dengan jalan raya dan papan tanda tersergam di bahu jalan memudahkan pengunjung untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam.

LAWATAN SEKOLAH DAN PELAJAR KEDAP 2019

22-23 November 2018 Lawatan sekolah dan pelajar KEDAP ke negeri Selangor.